Tuesday, 3 April 2018

Sinopsis ; Dan Dia Hadir


Arina tidak pernah memandang mana-mana lelaki melainkan Azal. Hanya Azal yang menakluki hatinya. Bertahun-tahun mereka bercinta, namun Arina tidak bahagia. Dia runsing. Tarikh perkahwinan hanya 3bulan sahaja lagi, namun hatinya tidak bahagia bersama Azal.  Tidak tahu apakah punca sebenar Arina tawar hati dengan kekasihnya sendiri.

Mungkin kerana Azal sibuk bekerja sehinggakan tiada masa untuk melawat ibunya yang sedang terlantar di hospital? Mungkin kerana Azal asyik menjauhkan diri setiap kali dia bertanyakan persiapan perkahwinan? Mungkin kerana hatinya sendiri tidak ikhlas mencintai Azal? Mungkin kerana Azal tidak pernah ada ketika dia susah? Tidak pernah mendengar luahan hatinya yang lara? Tidak pernah ambil kisah tentang dirinya? Namun, Arina tidak mempunyai scandal ataupun lelaki tambahan dalam hidupnya. Seorang pun tidak. Walaupun rakannya sedari kecil iaitu Iman sentiasa berada di sisinya tidak kira susah mahupun senang, Arina tetap tidak memberikan harapan kepada Iman.

Arina sejujurnya keliru. Pernah juga dia cuba untuk memutuskan hubungan bersama Azal, namun Azal membantah sekeras-kerasnya. Arina lari, dia kejar.

"You takkan boleh lari daripada I, Arina Maisarah." Keras bicara Azal sambil menggenggam penumbuknya.

Dalam tempoh sebulan sahaja lagi untuk berumah tangga, Arina mendapat tawaran untuk menyambung ijazah sarjana muda di Melaka. Azal membentak, dia tidak mengizinkan Arina pergi jauh daripada dirinya. Azal tahu Arina digilai ramai pemuda di luar sana. Kekasihnya itu mempunyai wajah kacukan Arab dan British. Mana mungkin dia melepaskan gadis secantik itu walaupun hanya berhijrah ke Melaka?

Arina berdegil. Tidak mungkin dia akan melupakan cita-citanya demi Azal. Dia mempunyai prinsip. Dia mahu menjadi wanita yang bekerjaya, mempunyai kerja tetap dan gaji yang cukup untuk dia menyara kehidupannya. Setelah itu, barulah dia dengan rela hati mendirikan rumah tangga. Arina pergi ke Melaka walaupun tanpa izin Azal. Lelaki itu bukan suaminya. Dia tidak ada hak untuk menghalang Arina.

Ketika menyambung pengajiannya, Arina diduga dengan kehadiran seorang pensyarah muda yang berkarisma. Sentiasa berbicara tentang kehidupan.Falsafah yang diberikan walaupun hanya sekadar rambang, tetap mengena di batang hidung Arina. Arina serba salah. Tidak mungkin dia jatuh cinta kepada pensyarahnya sendiri! Arina bergelut dalam konflik hatinya.

Siapakah sebenarnya yang hadir di dalam hidup Arina?

Azal, Iman, atau pun pensyarahnya, Raffie?